TakutKan Allah S.W.T
MENANGIS KERANA TAKUTKAN ALLAH...
Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang
menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke
tempat asalnya." Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa
akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat
beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk
dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu daripada rambut-rambut
matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad s.a.w. telah
bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t., maka
Allah s.w.t. mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku
menangis kerana amat takut kepada-Mu."
Akhirnya Allah s.w.t.
mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat
sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah s.w.t.
Malaikat Jibril a.s. mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab
sehelai rambut."
Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah,
diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka
jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat
menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan
menghadapinya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada
hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya).
Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada
hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah
al-Jatsiyah ayat 28)
Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka,
mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan
diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu
dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata
setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku
(selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang
akan berkata, "Umatku, umatku."
Beliau ialah junjungan besar
kita Nabi Muhammad s.a.w. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim
seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad s.a.w. berusaha menghalanginya
dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak
orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi
hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."
Walaupun
dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat
Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat
Muhammad s.a.w." Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah
s.a.w. meraihnya. Berkata Jibril a.s. "Wahai Rasulullah, ambillah air
ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda s.a.w. mengambil dan
menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu. Setelah itu
Rasulullah s.a.w. pun bertanya kepada Jibril a.s. "Wahai Jibril, Apakah
air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di
kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. Sekarang
aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan
pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah s.w.t.
Telah bersabda Rasulullah s.a.w., " Ya Allah anugerahilah kepada kami
dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak
ditemunya air mata."
No comments:
Post a Comment